IPOH 22 Okt. – Seramai 53 pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng mengalami keracunan makanan kelmarin selepas memakan telur hancur dan roti yang disediakan oleh kontraktor pengendali makanan sekolah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, kejadian melibatkan 35 pelajar lelaki dan 18 perempuan.
Menurutnya, pelajar terbabit mengalami pening, loya, muntah, sakit perut, cirit birit, demam dan kekejangan otot.
“Enam daripada mereka mendapatkan rawatan di klinik swasta dan selebihnya menerima rawatan daripada pasukan perubatan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kampar di sekolah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sivanesan, siasatan awal mendapati keracunan makanan disyaki berpunca daripada telur hancur yang dimakan bersama roti semasa makan lewat malam pada pukul 10.30 malam 19 Oktober lalu.
“Makanan tersebut disediakan dari premis dapur asrama sekolah itu.
“Ini merupakan kejadian kedua yang berlaku di premis tersebut selepas 4 Oktober lalu melibatkan kontraktor dan pengendali dapur yang sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE










