KUALA LUMPUR 29 Okt. – Sebanyak 500 murid dari 32 Tabika Perpaduan Daerah Hulu Langat menyertai Program Pintar Kreatif Tabika
Perpaduan 2018 peringkat daerah yang berlangsung semalam.
Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Hulu Langat (PERPADUAN) Selangor yang bertemakan warisan
budaya bangsa Malaysia itu bertujuan mencungkil bakat serta potensi guru dan murid dalam pelbagai bidang sekali gus melonjak prestasi
murid ke tahap terbaik.
Program yang berlangsung di ruang aras 1, Plaza Cheras Sentral di sini itu mempertandingkan dua kategori iaitu membaca keratan akhbar
dalam bahasa Melayu dan membaca buku bahasa Inggeris.
Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan Drama Muzikal, Aungklong, Bicara Berirama, Pentomin dan Choral Speaking.
Kanak-kanak juga tidak ketinggalan menunjukkan hasil kerja kreatif melalui Projek Tunas Wawasan yang memaparkan lima elemen reka cipta
iaitu alat muzik, seni kolaj, feksyen, bakeri dan angkasawan.
Penolong Pengawai Perpaduan Daerah Hulu Langat, Selangor, Ahmad Rizal Abd. Razak berkata, selain mencungkil bakat murid, program itu
dapat menggalakkan budaya kreativiti dan inovasi di Tabika Perpaduan.
“Pertumbuhan kanak-kanak seharusnya dikembang dengan pelbagai potensi dan tidak sewajarnya terhad dalam aspek akademik semata-mata.
“Tidak dinafikan pencapaian dan kecemerlangan akademik sangat penting namun pembinaan sahsiah peribadi dan potensi dalam bidang yang
digemari juga perlu diberikan keutamaan,” katanya dalam ucapan yang disampaikan.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian program berkenaan yang disempurnakan oleh Adun Sungai Ramal, Mazwan Johar, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Rizal berkata, penganjuran program itu sangat bermakna terutama untuk memberi pengiktirafan dan mencungkil bakat
yang mampu dikembangkan ke peringkat lebih tinggi. – UTUSAN ONLINE










