KEMAMAN 29 Okt. – Kegiatan sukan lasak melibatkan kenderaan pacuan empat lazimnya dilakukan di kawasan hutan dan berbukit, jauh dari kawasan penempatan namun buat julung kalinya di sini, para peserta disajikan pengalaman berbeza.
Dianjurkan oleh Kemaman 4X4 Accessories, pertandingan 4×4 Sand Challenge selama tiga hari mulai Jumaat lalu di Pantai Chendor, Sempadan Pahang/Terengganu, berlangsung di kawasan pantai yang berpasir dan berpaya.
Jurucakap penganjur, Zafiq Shahabudin berkata, pihaknya membawa pertandingan ini ke kawasan lebih dekat dengan penempatan dan kawasan tumpuan agar orang ramai berpeluang melihat aksi sukan ini dengan lebih dekat.
“Program ini mendapat kerjasama Kemaman Triton Community, Kemaman Truckers Community, Taxes Ranger, Beginner, Pahang Truckers, Prospeed dan Buak Team menampilkan tiga kategori iaitu Hardcore, Mediumcore dan Lightcore (Truck)”ujarnya ketika ditemui hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Andansura Rabu manakala peserta dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat.
Sempena 4×4 Sand Challenge, program turut dimeriahkan dengan penganjuran Kemaman Cubcross Sand Challenge 2018 dan Auto Show 4X4 yang kesleuruhannya melibatkan lebih 100 penyertaan.
Bagi kategori Hardcore, Mediumcore dan Lightcore dalam pertandingan 4×4 Sand Challenge, juara membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi, medal dan Sijil.
M. Rasyidi Azni Rasyid dari Texas 4X4 Team menjuarai kategori Hardcore manakala Tan Boon Loong dari Kemaman 4X4 Reception Team bagi Mediumcore dan Kamal Zahri dari Pahang Truckers mengungguli Lightcore.
Triton Tuners Club Malaysia pula menerima hadiah khas sebagai pasukan sokongan terbaik dengan membekalkan 10 buah kenderaan bagi memeriahkan cabaran. – UTUSAN ONLINE










