42 tan beras seludup dirampas - Utusan Malaysia

42 tan beras seludup dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 24 Okt. – Kecekapan sepasukan anggota dan pegawai polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap berjaya menghalang kemasukan 42 tan beras seludup dari negara jiran yang dianggarkan bernilai hampir RM70,000 tidak termasuk cukai semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Noh Idris berkata, kesemua beras seludup itu dibawa masuk menggunakan dua lori melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung.

“Kira-kira pukul 5.30 petang, pihak kami menerima maklumat mengenai kemasukan dua lori terbabit dan berjaya menahan kedua-duanya di depan Masjid Kampung Padang Chenderai, Padang Sanai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan terhadap lori pertama mendapati terdapat 12 bungkusan plastik berwarna putih bersaiz jumbo mengandungi kira-kira 12 tan beras manakala dalam lori kedua pula, terdapat 30 bungkusan sama yang mengandungi 30 tan beras,” katanya di sini hari ini.

Noh menambah, kedua-dua pemandu kenderaan berat terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan beras yang dibawa.

“Disebabkan itu kami mengesyaki beras tersebut diseludup. Ketika disoal siasat, kedua-dua lelaki berusia 42 dan 45 tahun yang ditahan mendakwa mereka hanya bekerja sebagai pemandu bagi membawa masuk barangan tersebut biar pun masing-masing tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Katanya, lelaki berusia 42 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah namun pemandu lori kedua berusia 45 tahun didapati memiliki rekod di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan kedua-dua lori dan pemandu terlibat akan diserahkan kepada Bahagian Kawal Selia Padi Beras Kedah untuk diambil tindakan mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini