JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin mendedahkan seramai kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada UMNO bakal keluar daripada parti untuk menyertai Bersatu.

Beliau berkata, ahli parlimen tersebut sudah beberapa kali berjumpa dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan bagi

membincangkan perkara itu.
“Posisi dan jawatan mereka dalam UMNO yang berpotensi menyertai Bersatu bukanlah sama seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed yang memegang kedudukan penting dalam parti dan kerajaan,” katanya.
“Setakat ini pemimpin-pemimpin UMNO berkenaan masih belum membuat keputusan kerana masih memikirkan kesan keluar parti dan memasuki Bersatu.
“Ini kerana ada antara mereka mempunyai isu atau terdedah untuk siasatan. Mana mungkin kita melindungi mereka kalau ada bukti kesalahan. Ini melibatkan kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perwakilan Bersatu Bahagian Tebrau di Bricks Cafe Kampung Maju Jaya, Skudai di sini semalam.
Mustapa yang merupakan bekas ahli UMNO dan pernah menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kelmarin mengumumkan menyertai Bersatu di ibu pejabat parti tersebut di Petaling Jaya, Selangor.
Bagaimanapun Kadir berkata, tiada jaminan untuk mereka tidak disiasat setelah menyertai Bersatu dan siasatan akan tetap dilakukan sekiranya mereka terlibat dengan sebarang salah laku.
Katanya, pemimpin berkenaan akan tetap disiasat jika mempunyai kes dan pihaknya tidak akan melindungi mereka.










