KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kerajaan memutuskan untuk membatalkan empat projek penjana kuasa bebas (IPP) atas sebab gagal mematuhi syarat-syarat yang dikenakan dalam surat tawaran oleh pihak pemaju.
Empat projek berkenaan adalah Loji Jana Kuasa Gas berkapasiti 700 megawatt (MW) oleh Malakoff Corporation Berhad dan Tenaga Nasional Berhad di Kapar, Selangor, Loji Jana Kuasa Gas berkapasiti 1,400 MW oleh Aman Majestic Sdn. Bhd. dan Tenaga Nasional Berhad di Paka, Terengganu dan Loji Jana Kuasa Kitar Padu Gas berkapasiti 300 MW oleh Sabah Development Energy (Sandakan) Sdn. Bhd. dan SM Hydro Energy Sdn. Bhd. di Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Sandakan, Sabah.
Kuota tenaga solar sebanyak 400MW kepada Edra Power Holdings Sdn. Bhd. bagi pembangunan loji jana kuasa solar turut dibatalkan .
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, pembatalan empat IPP itu akan mengoptimumkan bayaran kapasiti bekalan elektrik.
“Ini kerana kira-kira 30 peratus bil elektrik yang kita bayar hari ini adalah bagi bayaran kapasiti dan ia pula banyak bergantung kepada rizab margin bekalan elektrik dan terma-terma dalam perjanjian pembelian kuasa (PPA) dengan pihak IPP,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada akan membatalkan empat IPP itu seperti diumumkan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, jumlah rizab margin bekalan elektrik negara masih berada pada tahap optimum iaitu 32 peratus dan jika projek tersebut diteruskan, maka ia akan meningkatkan rizab margin ke tahap jauh lebih tinggi daripada bekalan diperlukan, seterusnya meningkatkan bayaran kapasiti.
“Apabila bayaran kapasiti meningkat, bil elektrik juga akan meningkat,” katanya.
Tambah beliau, projek tersebut dianugerahkan secara rundingan terus dan tidak dapat menjamin terma yang kompetitif bagi pihak kerajaan dalam PPA.
Dalam pada itu, Bee Yin berkata, kerajaan berjaya menjimatkan kos pembekalan elektrik kepada pengguna sebanyak RM1.26 bilion, dengan pembatalan projek tersebut.
Katanya, pembatalan projek itu juga dijangka tidak memberi implikasi negatif dari segi kewangan dan perundangan kepada kerajaan.










