4 pegawai termasuk Penolong Pengarah Kastam ditahan SPRM - Utusan Malaysia

4 pegawai termasuk Penolong Pengarah Kastam ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Sebanyak empat pegawai termasuk seorang Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri, Sarawak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana terlibat menerima rasuah.

Kesemua suspek berusia 25 sehingga 57 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.20 petang tadi selepas dipercayai menerima wang rasuah daripada satu sindiket yang didalangi seorang Datuk Seri bagi melindungi aktiviti penyeludupan kepak ayam di Miri.

Menurut sumber, kesemua kepak ayam yang diimport diseludup masuk dari pelabuhan dan pintu-pintu sempadan antara Malaysia dan Brunei tanpa sebarang pemeriksaan dilakukan.

Ujarnya, status halal barang yang diimport itu juga diragui status halalnya sebelum diedarkan bagi pasaran di sekitar Sarawak.

“Sehubungan itu, permohonan reman akan dilakukan terhadap kesemua suspek esok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 27 September lalu, Utusan Malaysia dalam laporan eksklusifnya mendedahkan mengenai serbuan sebuah gudang penyimpanan kepak ayam yang telah beroperasi selama 30 tahun di Miri dipercayai dijalankan secara haram.

Laporan terbabit turut mendedahkan kegiatan didalangi individu bergelar Datuk Seri itu tidak pernah diserbu oleh mana-mana pihak meskipun kepak ayam berkenaan diseludup dari negara jiran iaitu penyembelihannya diragui serta dipasarkan di Sarawak dan Sabah.

Selain itu, Utusan Malaysia turut mendedahkan bagi melancarkan proses membawa masuk kepak ayam ke negara ini sebelum disimpan ke gudang berkenaan, Datuk Seri terbabit didakwa membayar kepada penguat kuasa di pelabuhan serta pintu-pintu sempadan antara Malaysia dan Brunei. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN