4 lelaki samun pemandu diburu - Utusan Malaysia

4 lelaki samun pemandu diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Polis sedang memburu empat lelaki yang membuli dan menyamun seorang pemandu berhampiran Tol Batu 11, Cheras di sini malam tadi.

Kejadian berlaku pada pukul 10. 55 malam ketika pemandu lelaki itu yang turut membawa dua pekerja asing berada di lorong tambah nilai dan tiba-tiba sebuah Proton Pesona milik suspek menukar lorong dari kanan ke kiri di hadapannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang tidak sempat membrek terlanggar bumper hadapan kiri kereta suspek dan menyebabkan suspek marah.

“Suspek yang menaiki kereta bersama tiga rakan keluar dari kenderaan lalu menarik mangsa dari keretanya dan menengking, menampar serta mengugutnya.

“Suspek juga meminta ganti rugi sebanyak RM1,000 tetapi mangsa memberitahu dia tiada duit sebanyak itu. Suspek yang berang menyamun wang mangsa sebanyak RM400,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, suspek kemudian mengarahkan dua pekerja asing yang berada di dalam kereta menyerahkan wang dan barangan berharga sebelum melarikan diri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN