388 botol arak dirampas - Utusan Malaysia

388 botol arak dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 24 Okt. – Jabatan Kesihatan Negeri merampas sebanyak 388 botol minuman keras pelbagai jenama dari tiga premis menerusi ‘Ops Alkohol’ yang dijalankan di sekitar bandar ini hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, rampasan itu dibuat setelah pihaknya mendapati be­berapa kesalahan dilakukan pe­niaga an­taranya tidak menya­takan senarai ramuan, tiada pe­nyataan ‘Meminum arak boleh membahayakan kesihatan’ serta tidak mengikut ketetapan untuk menjual minuman keras dalam botol kaca dengan isipadu minimum 700 mililiter (ml).

“Kesemua minuman keras yang dirampas bernilai RM6,218. Sebanyak tujuh notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan melibatkan satu kesalahan tidak menyatakan ramuan serta masing-masing tiga untuk kesalahan tiada penyata­an ‘Meminum arak boleh membahayakan kesihatan’ dan tidak mengikut ketetapan untuk menjual minuman keras dalam botol kaca dengan isipadu minima 700ml.

“Pemantauan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru semua peniaga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­­lam sidang akhbar selepas mengetuai sendiri operasi tersebut di Pekan Lama, dekat sini, hari ini.

Operasi yang berlangsung selama empat jam itu melibatkan pemeriksaan lima premis menjual minuman keras yang terletak di kawasan berhampiran. Operasi itu turut disertai Timbalan Pengarah Kesihatan Ne­geri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd. Azhar Abdul Aziz serta Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Hamizah Mohd. Sultan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN