KULAI 16 Okt. – Sebanyak 38 kes membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri berjaya diselesaikan di mahkamah membabitkan denda keseluruhan berjumlah RM1.1 juta bagi tahun ini.
Pengarah KPDNHEP, Khairul Anwar Bachok berkata, jumlah itu telah melebihi jumlah denda dicatat sepanjang tahun lalu berjumlah kira-kira RM100,000.
“Sejak awal tahun sehingga hari ini, sebanyak 58 kes telah dibawa ke mahkamah di mana 38 daripadanya telah diselesaikan manakala 20 kes lain masih dalam perbicaraan.
“Kes ini membabitkan pelbagai rampasan melibatkan produk seperti Gas Petroleum Cecair (LPG), pakaian, perisian dan baja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang di Stor KPDNHEP, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










