3,295 botol produk tenusu tanpa logo VHM dirampas KPDNHEP Selangor - Utusan Malaysia

3,295 botol produk tenusu tanpa logo VHM dirampas KPDNHEP Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Tindakan sebuah kilang memproses produk tenusu menggunakan logo Perakuan Kesihatan Veteriner (VHM) tidak sah sejak setahun lalu terbongkar selepas premis yang terletak di Kawasan Peridustrian Kundang, Rawang dekat sini diserbu pihak berkuasa pagi semalam.

Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dan Jabatan Pekhidmatan Veteriner (JPV) itu dibuat kira-kira pukul 11 pagi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, hasil serbuan terbabit pihaknya telah merampas 3,295 botol pelbagai jenis produk tenusu antaranya susu segar, keju dan yogurt bernilai RM12,951.

Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan pihaknya bersama JPV kira-kira dua minggu lalu.

“Ketika serbuan dilakukan, seramai lapan pekerja yang terdiri daripada lima pekerja tempatan dan tiga warga asing berada di dalam kilang memproses produk tenusu berkenaan. 

“Selain merampas produk tenusu, kita turut merampas kira-kira 166,992 keping pelekat yang mempunyai logo VHM yang tidak sah bernilai RM8,349.60. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM21,300,”katanya pada sidang akhbar di KPDNHEP Selangor di sini hari ini. 

Azman berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati produk tenusu tersebut mempunyai logo halal yang sah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Apabila kita periksa dengan JAIS sememangnya syarikat ini mempunyai sijil perakuan halal daripada JAIS, namun pemeriksaan lanjut JPV mendapati mereka menggunakan logo VHM yang tidak sah dan syarikat itu tidak pernah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan sijil perakuan VHM.

“Sijil perakaun VHM ini penting bagi menjamin tahap keselamatan kesihatan prosuk tenusu agar ia tidak tercemar dengan penyakit bawaan daripada haiwan ternakan. Kita tidak mahu pembeli yang menggunakan produk ini terkena pelbagai penyakit berbahaya,”katanya.

Tambah beliau, produk tenusu keluaran syarikat ini dijual pada harga antara RM2 hingga RM6 bagi setiap produk dan ia untuk pasaran Lembah Klang. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana representasi palsu tentang pembekalan atau kelulusan barang-barang atau perkhidmatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN