313 individu terlibat dadah ditahan dalam Ops Mega Sarang - Utusan Malaysia

313 individu terlibat dadah ditahan dalam Ops Mega Sarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seramai 313 individu termasuk dua wanita yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan menerusi Ops Mega Sarang yang diadakan di seluruh Selangor hari ini. 

Dalam operasi bermula pukul 4 pagi hingga 1 petang itu, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 50-an.

Turut ditahan dalam operasi tersebut adalah 11 warga Myanmar.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, daripada 313 yang ditahan, 28 daripadanya disyaki sebagai pengedar, 57 orang ditahan kerana memiliki dadah, 149 orang kerana didapati positif dadah, 10 orang merupakan penagih dadah dikehendaki dan 69 orang lagi diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, pihaknya juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk sebanyak 109 gram (g) heroin, syabu (171g), ganja (16g), air ketum dan kodein masing-masing 28,731 mililiter dan 900 mililiter.

Selain itu, pihaknya juga merampas sebanyak 13 kilogram (kg) daun ketum, serbuk estacy (1.6 kilogram), pil yaba (5 biji) dan dua kereta serta tiga motosikal.

“Ada dalam kalangan suspek yang ditangkap merupakan pelayan kedai makan, juruelektrik, pemandu dan peniaga.

“Lokasi tangkapan teramai adalah di Pelabuhan Klang sebanyak 90 orang manakala Kajang seramai 65 orang,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Mega Sarang di sini hari ini.

Mazlan menambah, kesemua mereka ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) meliputi Langkah-Langkah Pencegahan Khas dan Perlucutan Harta dan Akta Racun.

Ujar beliau, ops tersebut bertujuan bagi membersihkan Selangor terutamanya daripada sindiket dadah selain membanteras jenayah jalanan seperti samun dan ragut berikutan ketagihan dadah.

“Berdasarkan rekod, kita menjalankan 196 Ops Sarang dengan menangkap 1,488 individu bermula Januari hingga Oktober dengan 125 daripadanya pengedar dadah.

“Jumlah rampasan dadah pula dianggarkan bernilai RM52.8 juta bagi tempoh sama,” jelasnya. K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN