IPOH 25 Okt. – Kesemua 30,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini yang diperuntukkan untuk penyokong Perak sudah habis dijual.
Dalam kenyataannya, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengumumkan, sehubungan itu tiada jualan tiket akan dibuat di Stadium Perak esok.
“Kuota tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Perak iaitu sebanyak 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket kanak-kanak telah habis dijual,” kata kenyataan Pafa, hari ini.
Penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Perak hari ini kecoh apabila tiket habis terjual dalam masa kira-kira sejam.
Ini menyebabkan para penyokong berang dan terus menunggu di pekarangan Stadium Perak dengan harapan untuk mendapatkan tiket namun hampa.
Ekoran itu, Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Munaim memohon maaf di atas kejadian itu.
Beliau menyatakan masalah itu disebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan iaitu mereka yang telah memperoleh tiket menjualnya semula dengan harga yang tinggi. – UTUSAN ONLINE










