NEW YORK 22 Okt. – Keghairahan sekumpulan belia berparti di sebuah unit pangsapuri di South Carolina berakhir dengan tragedi apabila lantai pada unit tersebut secara tiba-tiba runtuh menyebabkan sekurang-kurangnya 30 cedera.
Metro.co.uk melaporkan, video insiden itu merakamkan belia terbabit sedang asyik menari dan melompat sebelum lantai unit pangsapuri terbabit runtuh ke tingkat bawah.
Menurut saksi, mereka mendengar jeritan ramai orang ketika lantai pecah dan memerangkap banyak mangsa di bawahnya.
Difahamkan, kebanyakan mereka merupakan penuntut dari Universiti Clemson yang terletak berhampiran.
Saksi, Raven Guerra, 20, berkata, ketika kejadian dia sedang keluar daripada ruang utama sebelum merasakan sesuatu yang pelik sebelum lantai itu runtuh dan individu di belakangnya ‘ghaib’.
“Setiap orang berada di lantai dan mereka menjerit dan terdapat serpihan kayu melekat dari lantai bangunan.
“Melihat ke belakang dan mendapati sekumpulan orang ramai yang sepatutnya berada di tingkat dua kini berada di tingkat paling bawah adalah pelik dan mereka mula menangis,” katanya.
Sebanyak 30 orang mangsa dikejarkan ke tiga buah hospital berhampiran.
Seorang penuntut kemudiannya memuat naik satu hantaran di Twitter yang mendakwa berlaku situasi mengerikan di Woodlands, Clemson.
“Satu parti besar di dalam satu bangunan dengan lantai runtuh memerangkap ramai orang di dalamnya,” tulisnya.











