KOTA BHARU – Polis menahan tiga lelaki dan merampas sepucuk pistol jenis Revolver kaliber .22mm dalam serbuan di sebuah rumah di Cabang Tiga, Kampung Bagus, Rantau Panjang, dekat sini Khamis lalu.
Serbuan pada pukul 11.15 malam dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am, Kuantan dalam tugas Penguatkuasaan Risikan Sempadan Malaysia-Thailand itu turut merampas dadah jenis syabu seberat 10.94 gram (g).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam kejadian tersebut pihaknya menahan tiga lelaki masing-masing berusia 33, 38 dan 41 tahun di dalam rumah papan yang disewa oleh salah seorang suspek.
“Siasatan lanjut menemui sepucuk Revolver dengan dua butir peluru .22mm di bawah meja dalam bilik utama suspek berusia 41 tahun. Suspek menyorokkan senjata api berserta sarung itu dengan melekatkan pistol itu pada bahagian bawah meja kopi.
“Turut dirampas ialah sebilah parang bersarung warna hitam dan dua paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 10.94g bernilai RM1,641,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










