KUALA LUMPUR 14 Okt. – Sejumlah 70 buah kereta yang melibatkan 280 peserta menyertai Acara Mencari Harta Karun Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad (Sekatarakyat) dari Menara Kembar Bank Rakyat di sini ke Glory Beach Resort, Port Dickson semalam.
Program edisi kesembilan itu dirasmikan oleh Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh itu dan buat pertama kali tahun ini memperkenalkan kategori media yang menyaksikan penyertaan lapan pasukan media. Yang turut hadir Pengerusi Sekatarakyat, Datuk Mohamed Arsad Sehan.
Bertemakan ‘Hawaii’, program itu merupakan inisiatif Sekatarakyat bagi mengukuhkan hubungan dengan anggota koperasi Semenanjung Malaysia dan rakan niaga mereka.
Bagi kategori terbuka, kumpulan Thorn Among Roses dari Bank Rakyat mendapat tempat pertama dan menerima wang tunai RM3,500. Pasukan Kereta Buruk dari Utusan Malaysia muncul johan kategori media dan tempat keempat bagi kategori terbuka dan memenangi hadiah terkumpul RM2,300.-UTUSAN ONLINE










