KOTA KINABALU 28 Okt. – Sebanyak 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Cegah Jenayah di sekitar daerah ini bermula pukul 2 petang hingga 10 malam tadi.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam operasi itu, lima individu turut ditahan selepas didapati positif mengambil syabu dalam ujian urin yang dijalankan.
“Tumpuan lokasi adalah di kawasan bandar yang mana kadar pertumbuhan PATI mengundang kegiatan jenayah.
“Kesemua PATI berumur 14 hingga 55 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, tangkapan PATI disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala suspek yang positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada balai polis berhampiran atau melalui medium media sosial seperti Facebook Polis Kota Kinabalu dalam usaha untuk membenteras jenayah, PATI, dadah dan gejala sosial negatif di daerah ini,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE










