KUALA LUMPUR 22 Okt. – Sebanyak 20 warga asing termasuk empat wanita ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk dipercayai terlibat dengan sebuah pertubuhan seni mempertahankan diri dari Indonesia serta melakukan aktiviti pemujaan yang menyalahi syariat Islam.
Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, kesemua mereka ditahan dalam Op Nyah 1 Selangor di Tanjung Sepat, Bagan Lalang dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, dalam serbuan pada pukul 5 petang itu seramai 18 anggota PGA menyerbu Ladang Tumbuk bersebelahan sebuah kandang khinzir dan mendapati tempat tersebut dijadikan pusat perkembangan aktiviti Silat IKS PI Kera Sakti.
“Semasa pemeriksaan dilakukan didapati sekumpulan warga Indonesia sedang melakukan aktiviti dalam keadaan mencurigakan. Siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan aktiviti pertubuhan seni bela diri haram dan dipercayai sesat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Ghani memberitahu, ketika serbuan dilakukan mereka melakukan pemujaan dengan beberapa persembahan seperti pulut kuning, buah-buahan dan haiwan panggang malah berzikir beramai-ramai dengan menggunakan ayat tidak pernah didengari.
“Selain itu, tempat tersebut juga dijadikan transit keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) selain dijadikan lokasi aktiviti pertubuhan silat berkenaan sejak beberapa bulan lalu,” ujarnya.
Katanya, seramai 11 daripada 20 suspek yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Tambah Abdul Ghani, turut dirampas dua buah motosikal, lapan bengkung warna merah mengandungi ayat al-Quran, 23 topi bersulam ‘Pasker 1980’, enam lambang pertubuhan IKS PI Kera Sakti, 26 gegantung, 14 uniform, 24 sampul merah, 26 buku pelajaran Kera Sakti dan 20 batang lilin kecil warna merah.
“Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pertubuhan 1966 kerana disyaki terlibat dengan pertubuhan haram dan dipercayai mengamalkan amalan yang menyeleweng serta pemujaan berdasarkan barang-barang rampasan.
“Kesemua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Langat,” jelasnya.











