20 termasuk remaja ditahan terlibat parti liar, positif dadah - Utusan Malaysia

20 termasuk remaja ditahan terlibat parti liar, positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 26 Okt. – 20 orang termasuk dua remaja bawah umur yang didapati positif dadah ditahan di sebuah kondo di Danga Bay di sini kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah selain menyertai parti liar semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, daripada jumlah berkenaan, 15 adalah lelaki dan lima lagi wanita, kesemuanya berusia antara 15 hingga 24 tahun.

Beliau berkata, dua remaja berusia bawah umur itu terdiri daripada seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang masih bersekolah.

“Hasil soal siasat didapati kesemua yang ditahan termasuk enam lagi yang dibebaskan kerana negatif ujian air kencing mengaku mengambil dadah di sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa di sini sehari sebelum ditahan dan kemudian pergi ke kondo berkenaan untuk berehat.

“Siastan lanjut mendapati seorang lelaki dengan nama samaran ‘Man’ yang menetap di Pontian merupakan penganjur dan menjemput rakan dan kenalan melalui laman sosial WeChat manakala rakan yang lain pula menjemput kenalan mereka yang lain dan menjadikan lebih ramai yang datang ke parti liar itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Shahurinain berkata, siasatan turut mendapati tuan rumah berkenaan tidak mengetahui rumahnya dijadikan lokasi penganjuran parti liar berkenaan kerana diuruskan oleh agen dan kesemua saspek didapati berkongsi duit untuk menyewa kondo tersebut pada harga RM300 semalam.

Katanya, operasi bermula pukul 10 pagi dan berakhir pukul 3 petang itu adalah yang pertama kali dilakukan pihaknya di kondo berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN