ROM 24 Okt. – Sekurang-kurangnya 20 orang kebanyakannya peminat bola sepak Rusia cedera apabila sebuah eskalator di sebuah stesen kereta api bawah tanah di tengah bandar raya ini, runtuh semalam.
Media Itali melaporkan, kebanyakan mangsa cedera dengan seorang daripadanya parah selepas kakinya tersepit di tangga bergerak berkenaan.
Rakaman insiden itu menunjukkan eskalator di stesen Republica berkenaan secara tiba-tiba bergerak ke bawah dengan laju ketika puluhan penumpang berada di atasnya.
Ini membuatkan orang ramai menjerit ketika mereka jatuh bertimpa antara satu sama lain pada bahagian bawah eskalator berkenaan.
Menurut saksi kejadian yang dipetik media tempatan, kebanyakan peminat bola sepak itu dipercayai mabuk, selain melompat dan menari di atas eskalator berkenaan sebelum tangga bergerak terbabit runtuh.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan peminta bola sepak terbabit.
“Pada sebarang masa, kami berada di sini untuk memahami dan menawarkan sokongan kami kepada mangsa yang cedera dan keluarga mereka,” kata Datuk Bandar Rom, Virginia Raggi.
Beberapa orang mangsa dirakam dalam keadaan berselimut dan ada antaranya memakai pendakap leher sebelum dibawa ke hospital.
Sementara itu, siasatan punca kejadian terbabit sudah dimulakan, manakala stesen kereta api bawah tanah Termini di Rom, juga ditutup.
Insiden itu berlaku satu jam sebelum sepak mula Liga Juara-Juara membabitkan pasukan Roma, Itali dan kelab Rusia, CSKA Moscow.
Peminat bola sepak Rusia dilaporkan menuju ke stesen kereta api bawah tanah itu yang menghubungkan mereka dengan stesen kereta api untuk ke stadium berkenaan. – AFP










