SUNGAI PETANI 29 Okt. – Sebanyak 187 peniaga di daerah ini dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM36,138 kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk yang paling tinggi iaitu 81 kes melibatkan Akta Timbang dan Sukat 1972 sejak 1 Januari sehingga hari ini.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sungai Petani, Mazlan Safar berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan pemantauan penguat kuasanya selain aduan daripada pengguna,
“Apabila harga barangan tertentu mahal, seperti daging lembu, kambing dan ayam pelbagai rungutan dan masalah bakal timbul. Kita menasihatkan agar semua peniaga mematuhi arahan ditetapkan selain tidak memperdaya pelanggan mereka,” katanya.
Kira-kira 20 kakitangannya hari ini turun padang berbual dengan peniaga di Pasar Besar Sungai Petani dan menasihatkan mereka menjual daging kambing, lembu, ayam, sayur-sayuran dan lain-lain dengan harga berpatutan dengan mematuhi peraturan ditetapkan.
“Sebelum timbul masalah berkenaan, kita bawa Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Perpaduan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, R. Sammugam untuk turut serta dalam program walkabout di Pasar Besar Sungai Petani di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang penjual daging kambing, Sakull Mohd. Shariff, 74, dari Taman Seri Impian, Jalan Kuala Ketil berkata, langkah diambil oleh kakitangan KPDNHEP turun padang dan berjumpa dengan peniaga, termasuk di Pasar Besar Sungai Petani, adalah baik sekali.
“Sejak dulu sampai sekarang, saya hanya jual daging kambing tempatan dan import di pasar besar ini, hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pasti dapat untung lebih sedikit kerana bilangan pembeli begitu ramai hingga boleh jual 12 kilogram ke atas.
“Sekarang ini, semua pusat membeli belah yang besar-besar ada menjual daging kambing import dan saya masih lagi menjual daging kambing antara RM35 hingga RM38 sekilogram, mujar tidak dikenakan sebarang kesalahan kompaun semasa kakitangan KPDNHEP menjalankan operasi itu,” katanya.










