18 penggiat, aktivis gamelan Terengganu terima pengiktirafan khas - Utusan Malaysia

18 penggiat, aktivis gamelan Terengganu terima pengiktirafan khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri hari ini menyampaikan pengiktirafan khas kepada 18 penggiat dan aktivis gamelan Terengganu sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang banyak menabur bakti serta berkongsi ilmu kesenian tersebut. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pengiktirafan itu wajar diberikan kerana penggiat gamelan tradisional Terengganu selama ini hanya bergerak berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka tanpa sebarang sijil kelayakan khusus.

“Sijil pengiktirafan ini sebagai bukti kelayakan dan kebolehupayaan individu tersebut untuk melatih generasi baharu sekali gus menjana pendapatan buat mereka sebagai tenaga pengajar.

“Sijil kelayakan yang dikeluarkan ini merupakan usahasama antara kerajaan negeri dengan Universiti Malaysia Terengganu serta Lembaga Muzium Negeri Terengganu,” katanya selepas merasmikan majlis Apresiasi Lambang Sari Gamelan Tradisional Melayu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan tiga penerima dianugerahkan sebagai Tokoh Gamelan Tradisional Melayu diikuti tujuh penerima Anugerah Adi Guru Gamelan, tujuh penerima Anugerah Khas Gamelan serta satu Anugerah Khas Institusi Gamelan.

Penyanyi asal lagu ‘Ulek Mayang’, Wan Salmah Wan Sulaiman dan penari tradisional, Zaharah Abdul Hamid merupakan antara penerima bagi Anugerah Tokoh Gamelan sementara komposer terkenal, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain yang diwakili anaknya, Megat Mohd. Syahraini dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Gamelan.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, pengiktirafan itu juga merupakan tanda penghargaan daripada para pewaris, anak-anak didik serta generasi baharu kpeada penerima yang selama ini banyak berkongsi tentang ilmu kesenian gamelan.

“Pengiktirafan ini turut menjadi platform buat kerajaan negeri untuk mengetengahkan lagi seni gamelan Terengganu kepada aktivitis di serata negara seterusnya mencipta nama di rantau nusantara yang masih mengekalkan tradisi asal persembahan gamelan ini,” ujarnya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN