MADRID 25 Okt. – Mahkamah Agung Sepanyol hari ini mengarahkan 18 bekas pemimpin Catalonia dibicarakan berhubung pembabitan mereka dalam pengisytiharan kemerdekaan wilayah itu, tahun lalu.
Menurut mahkamah, sebanyak sembilan orang bekas pemimpin Catalonia yang dipenjarakan termasuk bekas Naib Presiden Oriol Junqueras akan didakwa kerana pemberontakan yang membawa hukuman penjara sehingga 25 tahun.
Bagaimanapun, bekas Presiden Catalonia, Carles Puigdemont yang hidup dalam buangan di Belgium dan turut didakwa memberontak ekoran peranannya mencetuskan gerakan pemisahan, tidak berada dalam senarai kumpulan itu kerana Sepanyol tidak membenarkan perbicaraan individu yang tidak hadir.
Perbicaraan itu dijangka diadakan awal 2019 dan berkemungkinan mencetuskan semula ketegangan antara Catalonia dan Sepanyol, selepas keadaan kembali tenang sejak pelantikan Perdana Menteri baharu, Pedro Sanchez, Jun lalu. – AFP










