16 kereta peronda kejar lori 'dipandu uji' remaja - Utusan Malaysia

16 kereta peronda kejar lori ‘dipandu uji’ remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 24 Okt. – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis selepas dikejar 16 buah Unit Kereta Peronda (MPV) sejauh kira-kira 45 kilometer dan selama satu jam 30 minit, dalam kejadian di Jalan Harmonium 23, Taman Desa Tebrau, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kejadian pukul 4 petang itu, anggota MPV yang membuat rondaan di kawasan itu mengesan sebuah lori jenis Hino dalam keadaan mencurigakan dan dipandu dalam keadaan berbahaya.

Beliau berkata, anggota MPV cuba menahan lori berkenaan namun pemandunya bertindak melarikan diri meskipun cuba dikejar dan dikepung empat MPV dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan 12 MPV dari IPD Seri Alam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semasa proses mengejar di Lebuhraya Pasir Gudang memasuki persimpangan susur keluar Plentong, MPV jenis Proton Preve dan Proton Inspira telah dirempuh lori berkenaan semasa membuat sekatan.

“Pihak polis telah melepaskan tembakan di udara sebanyak tiga kali di Lebuhraya Pasir Gudang tetapi remaja itu masih enggan berhenti. Lori tersebut akhirnya berjaya dihentikan dijalan Angkasa Mas 3, di sini dengan bantuan lori awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Shahurinain berkata, semasa proses penahanan telah berlaku pergelutan dan remaja berkenaan mengalami luka pada tangan kanan kerana bertindak agresif untuk melarikan diri, namun tiada anggota polis yang mengalami kecederaan.

“Hasil soal siasat awal terhadap remaja itu, dia menyatakan membawa lori itu bertujuan test drive memandangkan kunci lori tersebut berada di dalam lubang kunci lori berkenaan dan remaja itu juga pernah menjadi kelindan untuk lori yang dipandu oleh bapa saudaranya.

“Lori tersebut telah diambil dari kawasan letak kereta di hadapan sebuah kilang di Johor Jaya. Polis telah mengambil keterangan saksi-saksi kejadian termasuk pemilik lori berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.

Ujarnya, siasatan turut mendapati remaja berkenaan yang beralamat di Johor Jaya di sini sudah tidak lagi bersekolah dan membuat kerja sambilan sebagai kelindan lori selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini