PUTRAJAYA 23 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan sebanyak 16 jenis barangan harga terkawal sempena sambutan Deepavali pada 6 November ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, harga barangan itu berkuat kuasa di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 yang akan bermula dari 3 hingga 9 November depan.
Menurutnya, antara barangan tersebut adalah ayam hidup, ayam standard, daging kambing tempatan bertulang, telur ayam gred A, telur ayam gred C, cili merah, ubi kentang dan kacang dal.
“Para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan.
“Selain itu, mereka juga perlu meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu untuk barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman penentuan harga maksimum barangan harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama warga kementerian menyambut 100 hari kepemimpinannya sebagai menteri di kementerian berkenaan.-UTUSAN ONLINE











