KOTA BHARU 21 Okt. – Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) di sini mendedahkan sebanyak 15 peratus murid sekolah menengah berumur 12 hingga 17 tahun di daerah ini didapati mempunyai wajah cekung.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM, Prof. Dr. Rozita Hassan berkata, kajian melibatkan seramai 1,300 murid dari sembilan sekolah berlainan di daerah ini bertujuan mengenal pasti tahap profil muka yang dimiliki masing-masing.
Beliau berkata, keadaan muka cekung boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan serta keyakinan diri seseorang.
“Contohnya, individu yang memiliki wajah cekung akan menyebabkan penampilan diri tidak bermaya dan menjejaskan keyakinan diri.
“Dari aspek kesihatan, mereka mengalami masalah gigitan tidak serata, mengganggu penghadaman makanan semasa mengunyah dan memberi kesan pada sendi rahang dalam jangka masa panjang,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Syarahan Umum Pelantikan Profesor di USM, Kubang Kerian di sini hari ini.
Dr. Rozita berjaya melengkapkan kajian berjudul Kraniofasial Ortodontik: Rawatan Profil Wajah Cekung di Alaf baru.
Selain Dr. Rozita, dua penyelidik dari pusat dan universiti sama turut menerima pelantikan tersebut iaitu Prof. Dr. Zainul Ahmad Rajion dan Prof. Dr. Adam Husein – UTUSAN ONLINE










