JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan tahanan reman selama lima hari ke atas 12 pegawai belia dan sukan negeri ini termasuk tiga wanita selepas disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu melebihi RM90,000 tiga tahun lalu.
Majistret Siti Hajar Ali membenarkan tahanan reman lima hari itu bermula hari ini sehingga Sabtu ini ke atas semua suspek berkenaan selepas permohonan dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Anis Redza Muhamad Anuar.
Perintah tahanan reman ke atas 12 kakitangan kerajaan yang berusia antara 30an hingga 50an bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana bersubahat.
Jika sabit dengan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Semalam, Kosmo! melaporkan 15 belia dan sukan yang bertugas Pejabat Belia dan Sukan Daerah di Negeri Johor ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Bagaimanapun tiga daripada suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM semalam. – K! ONLINE
Tiga pegawai wanita turut dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman hari ini.










