KUALA LUMPUR 24 Okt. – Kerajaan sedang melihat untuk memansuhkan serta meminda lebih 117 akta termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan hukuman gantung sampai mati.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan walau bagaimanapun sedang mengkaji satu undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 dalam melindungi institusi raja-raja Malaysia.
“Kita akan mengumumkan senarai akta-akta yang terlibat dalam masa terdekat.
“Kerajaan sekarang mengamalkan konsep demokrasi di mana rakyat bebas mengkritik kami tetapi jangan melebihi batas peribadi. Dan kita juga akan mengkaji satu undang-undang baharu untuk melindungi institusi raja-raja Melayu.
“Bagi Akta Hasutan 1948 dan pemansuhan hukuman gantung akan dibentangkan pada sesi Parlimen ini atau selewat-lewatnya bulan Mac tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun ke-73 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











