BEIJING 20 Okt. – Sekumpulan doktor berjaya mengeluarkan 11 ekor cacing yang ‘bersarang’ dalam mata seorang bayi berusia lima bulan selepas dikesan mengalami jangkitan cacing daripada anjing peliharaan jiran di wilayah Shaanxi.
Melalui prosedur selama 21 minit itu, doktor dari Hospital Xi’an No 1 mengeluarkan cacing itu daripada mata Dong Dong menggunakan penyepit kecil.
Dong Dong dibawa ke hospital selepas ibunya menyedari anaknya merasa tidak selesa pada mata dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan bayi itu mengalami jangkitan nematod.
Doktor menemukan beberapa ekor cacing berlingkar pada permukaan anak mata termasuk dalam kelopak mata bayi malang itu, lapor portal Daily Mail.
Cacing itu dipercayai berasal daripada spesies Thelazia callipaeda, sejenis parasit nematod yang pertama ditemukan di China lebih 100 tahun yang lalu.
Thelazia callipaeda pertama ditemukan dalam mata anjing di China pada 1910.
Cacing berkenaan merupakan punca jangkitan nematod ‘thelaziasis’ di Eropah dan Asia apabila parasit itu menghuni mata anjing, kucing dan manusia.
Menurut laporan, parasit dalam mata Dong Dong telah dihantar untuk dianalisis bagi menentukan perincian jangkitan yang dialami manakala bayi itu kini diberi rawatan lanjut.
Ibu Dong Dong memberitahu doktor, dia tidak memelihara anjing atau kucing tetapi pernah melihat anaknya bermain dengan anjing milik jirannya.









