KOTA KINABALU – Seramai 11 anggota berpangkat konstabel hingga inspektor ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan salah laku rasuah melibatkan transaksi wang berjumlah puluhan ribu ringgit antara tahun 2014 hingga tahun ini.
Majistret Stephanie Sherron Abbie menetapkan keputusan itu selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suspek yang berusia antara 26 hingga 55 tahun di sini hari ini.
Kesemua suspek ditahan di sekitar negeri ini antara pukul 2 hingga 8 malam semalam kerana dipercayai menerima suapan berjumlah puluhan ribu ringgit secara tunai dan dalam talian antara tahun 2014 hingga Jun lalu.
Pelakuan tersebut dilakukan ketika bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sekitar negeri ini dengan menerima transaksi wang secara berkala iaitu harian, mingguan dan bulanan.
Tindakan berkenaan dikatakan bertujuan melindungi pesalah bagi kes dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana memberi sogokan kepada penjawat awam yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan jika disabitkan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Faliq Basirudin manakala suspek tidak diwakili peguam.
Terdahulu, semalam SPRM menahan 12 suspek melibatkan 11 tangkapan di Sabah dan seorang di Sibu, Sarawak antara pukul 2 petang hingga 8 malam.
Operasi tangkapan di negeri ini adalah melibatkan sembilan suspek di Kota Belud, seorang di Kota Kinabalu dan seorang lagi di daerah Beluran.
Permohonan reman terhadap seorang suspek di Sibu di lakukan di Mahkamah Majistret Kuching di Sarawak di sini hari ini. – K! ONLINE










