106 pelajar keracunan makanan dipercayai akibat sambal udang - Utusan Malaysia

106 pelajar keracunan makanan dipercayai akibat sambal udang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 29 Okt. – Seramai 106 pelajar sekolah Sekolah Menengah Teknik Melaka (SMTM) Bukit Piatu di sini disahkan mengalami keracunan makanan pada Rabu lalu dipercayai berpunca daripada sambal undang yang dimakan di dewan makan asrama sekolah tersebut.

LOW CHEE LEONG
LOW CHEE LEONG 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, mangsa yang mengalami keracunan makanan itu merupakan pelajar tingkatan empat yang mengadu sakit perut, loya dan muntah selepas makan sambal udang pada waktu rehat pada hari kejadian.

Menurutnya, beliau mengesyaki keracunan itu berlaku disebabkan penyediaan cili sambal udang yang dimasak pukul 10 malam sebelum hari kejadian itu tidak disimpan di dalam peti sejuk.

“Pada pukul 10 pagi keesokannya (Rabu), cili itu digunakan untuk memasak sambal udang dan semasa kejadian, semua pelajar hanya makan di dewan makan asrama.

“Bagaimanapun, sampel makanan sebenar tidak dapat diambil kerana telah dibuang oleh pengusaha asrama dan keputusan masih belum diperoleh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Chee Leong, Jabatan Kesihatan negeri juga telah mengarahkan dapur asrama itu ditutup selama 14 hari sehingga 9 November depan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari berkata, pihaknya mengesahkan kejadian keracunan makanan membabitkan 106 pelajar SMTM Bukit Piatu itu namun kesemuanya telah pulih selepas menerima rawatan.

Katanya, pihak sekolah telah mengambil tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) susulan kejadian tersebut dan pelajar kembali bersekolah seperti biasa.

“Penyediaan makanan di asrama itu juga telah ditukar serta merta dan diambil alih oleh pengendali baharu yang hanya akan membekalkan makanan dan minuman tetapi tidak memasaknya di dapur asrama berkenaan,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN