KOTA KINABALU 28 Okt. – Sebanyak 1,030 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Cabaran Borneo Safari Antarabangsa 2018 (Borneo Safari) yang bermula hari ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 399 buah pacuan empat roda menyertai acara tersebut yang akan menyelusuri laluan ‘off road’ sejauh 400 kilometer melalui beberapa daerah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar memberitahu, penganjuran program itu merupakan kali ke 28 bermula pada tahun 1990 disertai lapan negara iaitu Malaysia, Japan, Indonesia, Ireland, Rusia, Filipina, Vietnam dan Brunei.
“Program ini mengambil masa lapan hari yang akan berakhir pada 4 November depan dan akan menggunakan jalan hutan simpan meliputi empat daerah iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran dan Kota Kinabalu.
“Menerusi program ini, diharap dapat membantu Lembaga Pelancongan Sabah dalam mempromosikan negeri ini daripada segi destinasi pengembaraan yang mencabar kepada pelancongan dalam dan luar negara khususnya untuk aktiviti lasak seperti ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan pelepasan Borneo Safari di pekarangan STB.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. (IMSB), Koji Nakamura dan Ketua Pegawai Operasi IMSB, Masayuki Suzuki.
Dalam pada itu, Christina berkata, penganjuran program berkenaan juga secara tidak langsung dapat membantu usaha mempromosi Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi.
“Saya percaya program ini mampu menarik lebih ramai pelancong dari seluruh negara untuk berkunjung ke negeri ini memandangkan sebelum ini ada dakwaan Sabah adalah negeri yang tidak selamat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










