IPOH 27 Okt. – Sebanyak 102 undi ahli PKR Cabang Ipoh Barat ‘hilang’ daripada sistem pengundian bagi pemilihan cabang parti itu hari ini.
Ketua Pengawas Tempat Mengundi Cabang Ipoh Barat, Mohd. Hatta Marzuki berkata, data merekodkan sebanyak 470 ahli parti yang mendaftar dan mencetak kod namun daripada jumlah tersebut, terdapat 12 undi ragu.
Katanya, daripada 458 undi itu pula, hanya 356 undi yang dihantar ke sistem manakala 102 undi lagi tidak dikembalikan.
“Terdapat dua kemungkinan iaitu masalah teknikal yang mana undi tersebut masih ada di dalam tab namun tidak dapat dihantar oleh ‘server’ ke pusat.
“Kemungkinan kedua pula ialah pengundi hadir dan mencetak kod namun tidak mengundi atau mereka mengundi namun tidak menghantar undian itu ke dalam sistem,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Hatta berkata, pasukan teknikal sedang berusaha mengesan 102 undi yang hilang itu dan keputusan bagi cabang tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ujarnya, sehingga pukul 8 malam ini, keputusan tidak rasmi bagi jawatan timbalan presiden menunjukkan Rafizi Ramli mendahului dengan 178 undi meninggalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan 149 undi. – UTUSAN ONLINE










