KUALA LUMPUR 25 Okt. – Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) menceriakan lebih 100 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Amal Baitul Barokah Wal Mahabbah dengan membawa kesemua mereka ke KidZania Kuala Lumpur, Mutiara Damansara, semalam.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, kesemua anak-anak rumah yatim di Kampung Giching Hilir, Sepang, Selangor itu diberikan peluang merasai keseronokan taman tema berunsur pendidikan yang memberi pendedahan awal mengenai pekerjaan seharian.
“Kami percaya semua kanak-kanak perlu merasai dan menerokai peluang yang ada untuk mereka dan sepertimana kita tahu, bermain adalah antara cara untuk belajar. KidZania Kuala Lumpur mengetengahkan konsep pembelajaran dan pengajaran kemahiran penting dalam kehidupan.
“Selain berseronok, mereka dapat mengetahui peluang yang terhidang untuk mereka apabila dewasa dan ini mampu mencetus semangat untuk berjaya dalam pelajaran serta menggalakkan mereka berusaha mencapai potensi sepenuhnya,” katanya kepada pemberita.
Yang turut hadir Pengurus Besar Kidzania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports, Nik Anis Nik Zakaria.
Usaha tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan ini adalah sebahagian daripada Skuad Ceria iaitu program kesukarelawan dalam kalangan kakitangan Malaysia Airports di bawah cabang ‘Community Enrichment’ di mana penglibatan mereka memberi pengalaman bermakna buat anak-anak yang diraikan.
Menurut Raja Azmi, acara juga selari dengan cabang ‘Education and Youth Leadership’, melibatkan inisiatif teras program sekolah angkat yang dipanggil ‘Beyond Borders’ untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah rendah.
“Setakat ini terdapat lebih 30 buah sekolah di seluruh negara dimasukkan dalam program dan lebih 30,000 murid menikmati manfaatnya. Dengan slogan ‘Give Them Wings and Let Them Fly’, apa yang diperlukan hanyalah satu cetusan untuk mereka memasang impian,” katanya lagi.











