BATU PAHAT 27 Okt. – Seorang lelaki maut dipercayai dipukul sekumpulan suspek yang turut melibatkan pasangan suami isteri dalam kejadian di daerah ini, pada Selasa lalu.

Mangsa, Muhammad Mudrikah Lizan, 26, pada awalnya mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri ketika dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat sebelum meninggal dunia pada pukul 5.15 petang keesokan harinya.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, hasil siasatan awal, mangsa dipercayai telah dilarikan dan dipukul oleh sekumpulan lelaki selepas seorang suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isterinya.
“Berdasarkan maklumat dan risikan, tangkapan pertama telah dilakukan ke atas dua wanita berumur 36 dan 38 tahun pada kelmarin dan mereka kini direman sehingga Rabu ini.
“Hasil soal siasat yang dijalankan mendedahkan penglibatan sekumpulan lelaki yang melarikan mangsa dari sebuah pusat hiburan di Batu Pahat dan membawa serta memukul mangsa di satu tempat di Senggarang,” katanya dalam kenyataan akhbar sebentar tadi.
Susulan itu, Azhan berkata, polis menahan lapan lagi suspek berusia 24 hingga 38 tahun termasuk seorang wanita di Tangkak dan sekitar daerah ini semalam.
“Penahanan kesemua suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










