SICHUAN, CHINA 25 Okt. – Sepuluh pendaki negara dari Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA-M) berjaya menawan puncak Da Feng di Gunung Siguniang di sini pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan, semalam.
Pendakian ke puncak setinggi 5,038 meter dari aras laut itu merupakan misi Climb For Peace iaitu salah satu usaha KJA-M dalam menyampaikan mesej-mesej keamanan dunia melalui pendakian gunung.
Presiden KJA-M, Muhammad Illham Ishak berkata, walaupun terdapat beberapa pendaki yang mengalami penyakit akut gunung (AMS), namun disebabkan semangat juang yang tinggi untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Da Feng, pendakian tetap diteruskan.
“Kami juga terpaksa berdepan cabaran suhu di paras negatif dan angin yang agak kuat selain salji tebal yang menyukarkan sedikit pendakian.
“Bagaimanapun selepas hampir lima jam mendaki dari Kem Induk Da Feng, kesemua pendaki berjaya tiba di puncak dan mereka semua berada dalam keadaan yang baik dan bersemangat,” katanya kepada Utusan Online, hari ini.
Pendakian kumpulan itu bermula dari Pusat Aktiviti Outdoor Siguniang pada 22 Oktober lalu sebelum berhenti di Kem Dajian Bao untuk bermalam.
Keesokan harinya, mereka meneruskan pendakian ke Kem Induk Da Feng sebelum menuju ke puncak pada awal pagi semalam.
Menurut Muhammad Illham, pendakian ke Gunung Siguniang juga merupakan sebahagian daripada latihan KJA-M untuk melengkapkan misi World 7 Summits 2020 iaitu menawan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua pada 2020.
Sehingga hari ini, hanya tinggal dua sahaja puncak yang perlu ditawan KJA-M iaitu Gunung Mc Kinley di benua Amerika Utara dan Gunung Vinson Massif di benua Antartika.
“Misi 7 Summits ini memerlukan kos yang tinggi terutama Gunung Vinson Massif.
“Sehubungan itu, kami mengalu-alukan pihak yang berminat untuk menghulurkan penajaan bagi bersama-sama kami meletak nama negara di mata dunia di samping menyebarkan mesej keamanan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










