ALOR SETAR – Seramai 10 cedera termasuk seorang parah selepas sebahagian jeti di Pulau Anak Tikus, Langkawi dekat sini runtuh hari ini.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.53 petang tadi.
“Sebuah jeti konkrit di pulau tersebut runtuh dan mengikut laporan awal, seramai 40 mangsa terlibat yang mana 10 daripada mereka cedera.
“Seorang dilaporkan parah pada pinggang manakala sembilan lagi cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya difahamkan mangsa yang terlibat merupakan pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Jeti Kilim sejauh kira-kira lima batu nautika sebelum dikejarkan ke Hospital Langkawi untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya bagaimanapun sedang mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang terlibat.
Pulau Anak Tikus yang juga dikenali sebagai Pulau Fosil merupakan sebahagian daripada Kilim Geopark.
Pulau tersebut mempunyai struktur batu besar yang penuh dengan fosil berusia lebih kurang 480 juta tahun. – K! ONLINE










