Zaibo positif walaupun disahkan kanser tahap empat - Utusan Malaysia

Zaibo positif walaupun disahkan kanser tahap empat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH 5 Sept. – Selama tiga hari tiga malam seniman Zainal Ariffin Abd. Hamid tidak henti menangis mengenangkan nasibnya sebaik dimaklumkan oleh doktor yang beliau menghidap kanser.

Ketika itu, Zainal Ariffin atau lebih dikenali sebagai Zaibo, 62, tidak mampu berfikir rasional kerana kata-kata yang keluar dari mulut doktor itu benar-benar menakutkannya.

“Sebaik saja doktor cakap kanser saya sudah berada di tahap empat saya merasakan dunia gelap serta-merta,” kata Zaibo Kepada Utusan Online ketika ditemui di wad Hospital Sungai Buloh, di sini sebentar tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, selepas mendapat semangat dan keyakinan daripada doktor yang merawat, Zaibo semakin positif dan menerima dugaan Allah dengan redha.

“Selama tiga hari saya bermuhasabah dan mula memikirkan yang saya tidak boleh terus meratapi nasib.

“Saya bangkit dengan semangat dan kekuatan bahawa saya harus teruskan hidup dan melawan kesakitan ini,” ujar Zaibo lagi.

Zaibo dimasukkan ke hospital berkenaan kelmarin selepas disahkan mengidap penyakit kanser esofagus (Esophageal Cancer).

Pelakon yang cukup masyhur menerusi watak Pak Selamat dalam sitkom Spanar Jaya kini menetap di Batu Pahat, Johor bersama keluarganya.

“Saya menetap di Batu Pahat dan diminta ke Hospital Sungai Buloh selepas dinasihatkan oleh Hospital Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Zaibo, sebelum disahkan mengidap kanser, dia kerap tersedak dan muntah setiap kali makan dan kini hanya mengambil makanan dalam bentuk cecair.

“Saya memang tiada tanda-tanda sakit dan hanya bermula dua minggu selepas hari raya Aidilfitri lalu,” kata Zaibo lagi.

Sementara itu, Zaibo sebentar tadi menerima kunjungan rakan-rakan rapat seperti penulis lirik terakhir, Habsah Hassan, pelakon terkenal, Rubiah Suparman serta wartawan Intan Zabidin dan Abie Abdullah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini