LUMUT – Mayat seorang lelaki warga emas yang dipercayai mempunyai masalah mental ditemui dalam keadaan terbaring di tepi jalan di Kampung Koh dekat Sitiawan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mangsa, Law Lee Seng,66 ditemui oleh orang awam yang melalui jalan tersebut pada pukul 11.45 pagi.
Jelasnya, sewaktu dijumpai, mayat mangsa berada dalam keadaan terlentang di atas rumput di tepi jalan berkenaan.
“Mangsa masih berpakaian lengkap iaitu berbaju kemeja dan berseluar pendek berwarna coklat.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa. Selain itu, tiada sebarang kesan berkaitan kes jenayah yang ditemui,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Muhammad Hanif, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung dekat sini untuk dibedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Ujarnya, berdasarkan keterangan orang awam yang melihat mangsa 30 minit sebelum kejadian, mereka melihat mangsa berjalan kaki dari arah Pekan Gurney menghala ke Kampung Koh.
“Selain itu, anak saudara mangsa juga memberitahu lelaki itu mempunyai masalah mental dan tinggal seorang diri selain sering merayau tanpa hala tuju,” katanya. – K! ONLINE











