Warga emas nyaris maut pokok timpa rumah - Utusan Malaysia

Warga emas nyaris maut pokok timpa rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI – Seorang lelaki warga emas nyaris maut selepas sebatang pokok durian berusia 10 tahun yang telah mati tumbang sebelum menghempap rumahnya di Kampung Bukit Jering di sini semalam.

Semasa kejadian kira-kira pukul 4.15 petang, kawasan rumah mangsa, Mohamed Yusoff Ab. Rahman, 64, dilanda ribut sebelum mengakibatkan pokok tersebut tumbang.

Warga emas itu berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di atas kerusi panjang di bahagian tamu rumah sebelum menyedari cuaca menjadi agak buruk di luar rumah.

“Ribut itu tidaklah kuat mana dan saya sedang berehat di kerusi ruang tamu rumah. Tiba-tiba saya mendengar bunyi kuat di luar rumah dan tidak semena-mena kayu durian itu menghempap bumbung.

“Saya terus melompat dari kerusi kerana dahan pokok itu nyaris kena kaki saya. Jika beberapa inci sahaja lagi mungkin saya boleh cedera atau maut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia tinggal keseorangan di rumah kayu peninggalan arwah ayahnya sejak 30 tahun lalu.

“Saya amat terkejut dengan kejadian berkenaan. Saya berasa seolah-olah mati hidup balik dan bersyukur kerana pokok itu tidak tumbang ke atas tubuh.

“Saya anggarkan kerugian kira-kira RM10,000 kerana bumbung rumah hancur selain pendawaian elektrik juga tidak dapat digunakan lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Jering, Hashim Yatib berkata, dia telah memohon bantuan dari pejabat tanah bagi mangsa tersebut.

“Saya telah meminta bantuan bencana di bawah tabung Serambi Mekah bagi meringankan beban yang ditanggungnya,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN