KUALA LUMPUR – Menyasarkan golongan wanita yang kesunyian sebelum mendapatkan kepercayaan mereka merupakan antara modus operandi yang dilakukan satu sindiket penipuan melalui media sosial Facebook dikenali Love Scam sehingga mengakibatkan mangsa kerugian wang tunai.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) (Jenayah Siber Dan Multimedia) Bukit Aman, Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, selepas mendapat kepercayaan mangsa, sindiket tersebut akan memulakan langkah seterusnya iaitu membuat janji untuk mengirimkan parcel ataupun barangan berharga sebagai tanda perhubungan.
“Bagaimanapun, mangsa kemudian akan menerima panggilan yang memaklumkan barangan tersebut ditahan di lapangan terbang oleh pihak berkuasa dan perlu memindahkan sejumlah wang untuk mendapatkannya.
“Ada juga mangsa yang diperdaya sehingga sanggup menyerahkan kad ATM milik sendiri melalui perkhidmatan pos kepada ahli sindiket,” katanya pada sidang akhbar di Menara 236 di Jalan Tun Razak di sini semalam.











