KUALA LUMPUR 16 Sept. – Seorang wanita yang sesat selepas mendaki Bukit Broga, Semenyih semalam berjaya di bawa turun sebentar tadi lalu dihantar ke Hospital Kajang dekat sini untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Penolong Penguasa Bomba Zainal Elias Abdul Aziz berkata, mangsa, Teoh Kim Ling, 38, di bawa turun pada pukul 2.50 petang tadi selepas ditemukan selamat pada pukul 9 pagi.
Kim Ling yang merupakan seorang akauntan dikatakan mula mendaki bukit berkenaan pada pukul 10.30 pagi semalam namun masih belum pulang ke rumah menyebabkan kakaknya membuat panggilan kecemasan pada pukul 3.12 petang untuk mencarinya.
Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan sejak kira-kira 3.20 petang semalam. – UTUSAN ONLINE









