Wanita lapor polis, pegawai Timbalan Menteri rakam video bawah skirt - Utusan Malaysia

Wanita lapor polis, pegawai Timbalan Menteri rakam video bawah skirt

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan wanita sebuah premis cermin mata bertindak membuat laporan polis terhadap seorang lelaki yang mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman selepas didakwa merakam video dari bawah skirt wanita terbabit.

Melalui sebuah rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi seminit 46 saat itu yang tular di media sosial semalam, seorang wanita sedang memeriksa mata Timbalan Menteri itu dengan membelakangkan suspek.

Suspek kemudian dilihat merakam bahagian bawah skirt mangsa dengan menggunakan telefon bimbitnya. Insiden tersebut dipercayai berlaku di kompleks beli-belah Solaris Dutamas di sini pada Jumaat lalu.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama dan mendakwa dirinya berasa tidak selesa dengan perbuatan lelaki berkenaan.

rakam skirt
Pegawai tersebut (kiri) dipecat serta-merta selepas rakaman CCTV tersebut tular di media sosial.

 

Mangsa hanya menyedari tentang kejadian tersebut apabila melihat rakaman CCTV di tempat kerjanya tidak lama kemudian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kejadian tersebut namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Sementara itu, Azis melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasminya malam ini berkata, beliau memandang serius tindakan pegawainya yang disifatkan terkutuk dan keji.

“Saya mengambil keputusan untuk memecat pegawai tersebut secara serta-merta kerana tindakan itu menjejaskan imej dan kredibiliti pihak saya selaku Timbalan Menteri dan pejabat Timbalan Menteri.

“Saya memohon maaf atas tindakan pegawai berkenaan dan perbuatan tersebut tiada kena-mengena dengan pegawai-pegawai lain yang turut bertugas di pejabat saya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN