SAUDARA PENGARANG,
DALAM dunia moden yang celaru disebabkan gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), adalah lebih wajar golongan wanita mengelakkan diri mereka ‘menyerupai’ golongan itu khususnya dari sudut solekan.
Tidak kira mereka yang menutup aurat atau pun lebih liberal dan ‘tidak cukup kain’, solekan muka terlampau tebal malah terlalu banyak ‘aksesori palsu’ akan menyebabkan wanita tulen kelihatan seperti lelaki transgender (pondan).
Jika 20 atau 30 tahun dahulu memang senang kita mahu membezakan antara perempuan dan pondan tetapi sekarang ada lelaki transgender yang lebih ‘cantik dan montok’ daripada wanita tulen.
Solekan tebal seinci, dengan bermacam warna bedak pada muka, gincu warna terang, kening lukis, bulu mata palsu, warna anak mata palsu, rambut palsu dan bermacam-macam jenis tindik atau aksesori barang kemas.
Lebih memeningkan bila wanita tulen membeli produk alat solek daripada pondan semata-mata untuk menonjolkan ciri-ciri maskulin seperti seorang lelaki transgender.
Itu belum cerita tentang produk memutihkan kulit, merampingkan pinggang, pushup bra dan pelbagai jenis ‘kepalsuan’ fizikal untuk mengubah ciptaan Tuhan.
Sebab itu tidak pelik bila ada kes lelaki ceraikan isteri selepas malam pertama kerana ‘kantoi’ begitu banyak ‘aksesori palsu’. Hargai diri, kecantikan dalaman hasil adab dan budi bahasa lebih tinggi nilainya daripada fizikal ‘plastik’.
Bunyinya lucu dan tidak mungkin wujud dalam dunia sebenar tetapi cuba perhatikan semula, ada wanita yang gemar mekap tebal dan aksesori palsu sehingga kelihatan seperti pondan.
ANTI LGBT
Kuala Lumpur











