ARAU 24 Sept. – Kesemua sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri ini tidak akan berganjak daripada parti itu sekali gus menafikan dakwaan mereka bakal menyertai Pakatan Harapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan merangkap Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman yang mewakili kesemua wakil rakyat tersebut menegaskan, dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terdapat wakil rakyat BN menyatakan hasrat menyertai parti itu sebagai satu pembohongan besar.
Katanya, pihaknya tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Bersatu dalam soal tersebut, jauh sekali untuk bertemu pemimpin mereka bagi menyatakan hasrat keluar parti.
“Kita akan terus kekal bersama UMNO dan BN dan sama sekali tidak akan mengkhianati amanah rakyat.
“Dalam masa sama, kita juga menyokong penuh kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Setiausaha Bersatu negeri, Wan Saiful Wan Jan mendedahkan terdapat pemimpin dan wakil rakyat BN menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Harapan.

Sebelum itu, Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar turut menafikan dakwaan tersebut.
ADUN Kayang, Hamizan Hassan pula berkata, beliau dan wakil rakyat BN lain tidak pernah berbincang dan terlintas di fikiran untuk keluar parti.
“Desas-desus seperti ini sebenarnya hanya berlaku di kedai kopi dan daripada pemain politik,” katanya.
ADUN Pauh, Roziena Ahmad berkata, beliau dan wakil rakyat lain menang atas tiket BN dalam pilihan raya umum lalu dan tidak mungkin mereka akan keluar parti untuk menyertai Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.









