VSS perlu dibayar sekaligus bukan ansuran bulanan - Utusan Malaysia

VSS perlu dibayar sekaligus bukan ansuran bulanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 24 Sept. – Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu) boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Kerja (Faedah-Faedah Penamatan Dan Rentikerja Sentara) 1980 Akta Pekerja 1955 sekiranya gagal membuat bayaran wang pampasan skim pemisahan sukarela (VSS) dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis pemberhentian.

Malah, syarikat penerbit akhbar tertua di negara itu boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap kes yang dilaporkan berkaitan penawaran VSS berkenaan.

Mengikut peraturan, sekiranya mana-mana syarikat menawarkan VSS kepada pekerja, ia perlu membayar pampasan berkenaan secara sekali gus (lump sum) bukan secara ansuran.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, para pekerja Utusan Melayu harus berani tampil membuat aduan.

“Pekerja harus berani kerana itu adalah hak yang dijamin oleh undang-undang. Kalau kita terima adaun, kita akan membuat siasatan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-21 (COSH 2018) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia, Datuk Mohd. Jeffrey Joakim.

NUJ dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu, sebanyak 800 pekerja syarikat media itu ditawarkan VSS dengan pembayaran pula dibuat bukan secara sekaligus tetapi secara ansuran bulanan yang mengambil masa selama setahun untuk diselesaikan.

Secara prinsipnya jelas kesatuan berkenaan, perkara itu sudah lari daripada amalan biasa VSS dan memberi risiko besar kepada ahli.

Difahamkan ketika ini syarikat sedang berbincang dengan pihak kesatuan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif (Korporat) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datin Azlaily Abd. Rahman berkata, para pekerja Utusan Melayu yang terlibat dalam VSS layak mendapat bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sebanyak RM600 Unyuk tempoh tiga bulan sementara dibantu mencari pekerjaan baharu.

“Kita akan membantu mereka mencari pekerjaan baharu dalam bidang sama atau bidang lain. Kita akan membantu mereka mencari pekerjaan dalam platform-platform seperti JobsMalaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN