SEJAK sekian lama, hati Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati berbunga rasa bangga setiap kali nama bapanya, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj disebut, dilaung, dikenang dan disanjung di segenap pelosok negara.
Masakan tidak. Almarhum Tunku Abdul Rahman meninggal dunia 28 tahun lalu, namun sumbangan dan kehebatan beliau yang memimpin negara ke arah kemerdekaan, tidak sekalipun pudar dari ingatan rakyat.
“Sejarah mencatatkan beliau ialah Bapa Kemerdekaan Negara yang memainkan peranan penting membebaskan negara, menjadi pemimpin nombor satu serta membentuk gagasan Malaysia.
“Di hati saya pula, beliau ialah seorang bapa yang sangat penyayang, lemah-lembut dan tidak pernah meninggikan suara, serta lelaki yang benar-benar mengambil berat terhadap keluarga,” ujar Tunku Noor Hayati.

Ketika bertemu dan mendengar celoteh beliau di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini, Tunku Noor Hayati turut meluangkan masa menunjukkan beberapa foto bersama Tunku Abdul Rahman yang dipanggil ‘Pak’.
Melalui bahasa tubuh beliau tatkala menatap potret Almarhum, penulis seolah-olah dapat melihat kehangatan kasih sayang serta kerinduan mendalam sang puteri yang sedikit pun tidak pernah padam terhadap ayahanda.
Tunku Noor Hayati, 51, merupakan anak Tunku Abdul Rahman bersama isteri keempat, Bibi Chong yang dikahwini pada 1963. Menerusi perkahwinan itu, Almarhum turut dikurniakan seorang lagi puteri, Tunku Mastura, 45.

Bercerita lanjut mengenai bapa tercinta, Tunku Noor Hayati mengakui bertuah kerana zaman kanak-kanaknya mendapat perhatian penuh Almarhum yang tidak lagi begitu aktif dalam dunia politik serta hal ehwal pentadbiran negara.
Kata beliau, antara perkara tidak begitu diketahui umum ialah, bapanya seorang pakar masakan tradisi Melayu dan merupakan individu yang bertanggungjawab mengajar beliau memasak, selain menjadi orang paling sibuk memberi arahan di dapur.
“Antara masakan ayahanda paling saya ingat ialah udang bersama santan, tak ada nama khusus untuk masakan ini tetapi ramai yang merasa kali pertama memuji masakan tersebut. Itu adalah resipi turun-temurun daripada bonda ayahanda.
“Bila kita atau pembantu rumah masak di dapur, ayahanda akan duduk di belakang dan ajar kami. Dia akan komen, ini tak betul, itu tak betul, kena tambah itu, tambah ini. Saya juga belajar masak rendang atas dapur kayu kerana ayahanda nak pastikan semua ‘ori’ (asli),” katanya.

Menurut Tunku Noor Hayati, ayahandanya yang turut meminati filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee terutama Madu Tiga dan Ali Baba Bujang Lapok, juga merupakan seorang yang romantis, terutama dalam hal-hal mengutus surat.
“Ketika saya menyambung pengajian di England dalam bidang perundangan, beliau gemar menulis surat kepada saya dan menceritakan tentang keadaan di Malaysia, keluarga dan kesihatan diri. Memang romantis suratnya.
“Beliau juga boleh dianggap trend setter apabila mempopularkan budaya mengirim kad raya di Malaysia selepas tengok orang di England kirim kad setiap kali sambutan Krismas. Untuk jadikan lebih istimewa, beliau letak potret keluarga kami pada kad raya,” katanya.
Nilai penting disemai dan dipupuk oleh Tunku Abdul Rahman ke dalam kehidupan Tunku Noor Hayati ialah kebersamaan, sifat empati yang tinggi dan prihatin terhadap pelbagai perkara, terutama berkaitan kemasyarakatan dan kebajikan sesama manusia,” katanya.
Tunku Noor Hayati berkahwin dengan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz pada Julai 1991 dan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Tengku Nur Qistina Petri, 26; Tengku Abdul Rahman Petra, 24; dan Tengku Yahya Aziz Petra, 20.
Paling diingati ketika zaman kanak-kanak kata beliau, ciuman yang wajib dilayangkan oleh Almarhum pada pipi setiap kali mereka berdua bertemu bagi melepaskan kerinduan.
“Saya selalu mengeluh ketika itu.. ish habis basah pipi saya dengan air liur. Tetapi itu perkara paling saya rindu sekarang,” kata Tunku Noor Hayati sambil tersenyum penuh makna. – UTUSAN ONLINE
Rakyat dah tak sayang Pak
RIAK wajah Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati berubah menjadi muram apabila mengenang hari-hari terakhir sebelum pemergian bapa tercinta, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tanggal 6 Disember 1990.
Menurut Tunku Noor Hayati, ketika mereka berdua bersendirian, Almarhum yang terlantar uzur pernah meluahkan rasa sedih kerana berasa diri tidak lagi disayangi rakyat, sekali gus menyebabkan hatinya sebagai seorang anak tersentap kuat.
“Pak nak pergi dah, pasal rakyat dah tak sayang Pak, itu disebutnya dalam keadaan lemah ketika itu, menyebabkan saya rasa amat sedih.
“Biasanya, kalau ayahanda sebut perkara menyedihkan, saya akan bagi semangat, tetapi pada masa itu, saya tidak tahu nak kata apa sebab mungkin apa yang dia cakap itu benar,” kata beliau.

Menurut Tunku Noor Hayati, banyak insiden kurang manis dan layanan buruk kerajaan ketika itu berlaku apabila Tunku Abdul Rahman tidak lagi menjadi perdana menteri, terutama selepas pembentukan parti S46 menyebabkan Almarhum memendam rasa.
“Apabila seseorang itu menjadi bekas Perdana Menteri, masih ada protokol tertentu perlu dipatuhi dalam sesebuah majlis seperti keutamaan tempat duduk. Disebabkan beliau menyertai S46, bukan ahli UMNO Baru, tempat duduk untuk beliau pun tak ada.
“Malah ada suatu ketika, terdapat media menulis artikel mengenai ayahanda, kononnya beliau gila kuasa mahu jadi Perdana Menteri semula” katanya.
Layanan dingin terhadap beliau bagaimanapun tidak berjaya menggugat personaliti Tunku Abdul Rahman yang sememangnya negarawan ulung berjiwa besar. Kasihnya pada negara tetap utuh. Kebajikan rakyat pula sentiasa menjadi keutamaan, termasuk dalam doa.
“Memandangkan usianya sudah mencecah 87 tahun dan sering uzur, badannya sudah tidak kuat menyebabkan ayahanda terpaksa solat dengan cara duduk di atas kerusi sambil diperhati oleh saya atau ahli keluarga lain.
“Perkara ayahanda lakukan selepas solat ialah berdoa kepada Allah SWT. Bukan untuk diri sendiri dan keluarga sahaja, tetapi keselamatan rakyat Malaysia. Yang selalu diulang, semoga perpaduan dan keamanan negara ini dikekalkan,” kata Tunku Noor Hayati.
Doa Tunku Abdul Rahman itu dipercayai kerana beliau tidak mahu peristiwa hitam rusuhan kaum melanda negara pada 13 Mei 1969 berulang.

Bercerita lanjut, Tunku Noor Hayati berkata, selepas Almarhum meninggal dunia, orang ramai termasuk Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Azlan Shah berarak sejauh beberapa kilometer bagi memberi penghormatan terakhir.
“Jenazah Almarhum ayahanda kemudiannya dibawa ke Alor Setar, Kedah untuk disemadikan sebagaimana wasiatnya. Semasa jenazah dalam perjalanan untuk dikebumikan, saya sempat memerhatikan anggota polis pengiring menanggalkan topi dan menangis teresak-esak.
“Terdetik di hati saya ketika itu, sebenarnya masih ada yang sayang Pak,” ujarnya.
Tunku Abdul Rahman meninggal dunia pada 6 Disember 1990, pukul 10.25 malam pada usia 87 tahun kerana sakit tenat dan jenazah Almarhum disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah. – UTUSAN ONLINE











