KUALA LUMPUR 28 Sept. – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull mencadangkan supaya pesalah rasuah dijatuhi hukuman sebat.
Beliau berkata, hukuman itu dapat memberi pengajaran kepada orang ramai sekali gus mencegah mereka daripada melakukan kesalahan sama.
“Secara peribadi, saya amat bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengenakan hukuman bunuh terhadap pesalah rasuah kerana merupakan ibu segala jenayah malah akan membawa kepada jenayah lain seperti judi haram, pelacuran, seludup pendatang asing tanpa izin dan lain-lain.
“Tapi, memandangkan kerajaan baharu sudah pun mencadangkan untuk memansuhkan hukuman tersebut, saya cadangkan pesalah rasuah ini dikenakan hukuman sebat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menjadi tetamu program temubual di Radio Bernama dekat Wisma Bernama di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri memberitahu, sejak Jun lalu SPRM merampas dan membekukan sebanyak RM2.5 bilion wang tunai selepas dipercayai terlibat dengan rasuah serta salah guna kuasa.
Jelas beliau, jumlah tersebut tidak termasuk sitaan aset yang dibuat pihaknya sejak mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya bermula empat bulan lalu.
“Sejak Jun lalu juga, kita menahan sebanyak 336 individu atas pelbagai kesalahan rasuah serta salah guna kuasa sebelum berjaya mendakwa kira-kira 100 daripadanya di mahkamah.
“Kesemua ini hanya dalam tempoh empat bulan dan termasuk rampasan kes 1 Malaysian Development Berhad (1MDB), sangat menakutkan bukan?” katanya.











