KUALA LUMPUR 7 Sept. – Dua lelaki ditahan selepas membawa dua kontena mengandungi 10.5 juta batang rokok serta 2,600 liter minuman keras berjumlah RM10 juta yang diseludup masuk ke negara ini melalui zon bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dekat sini pada Ahad lalu.
Dalam tangkapan yang dilakukan pukul 7.50 malam itu, kesemua rokok dan minuman keras terbabit diseludup dari Vietnam melalui perairan negara sebelum tiba di pelabuhan berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Seri Zulkifli Yahya berkata, kesemua barangan itu diletakkan di dalam kontena dari Singapura sebelum di bawa ke satu tempat lain untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.
Ujarnya, kesemua barangan tersebut bagaimanapun telah diisytiharkan kedua-dua suspek sebagai alat ganti kenderaan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kedua-dua lelaki yang juga pemandu lori itu ditahan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Klang, Selangor sebaik sahaja siasatan dilengkapkan.
“Siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan kastam,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya, Selangor hari ini. – UTUSAN ONLINE










