KOTA BHARU 23 Sept. – Derita yang terpaksa ditanggung oleh sebuah keluarga terubat apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan pihak pentadbir Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Kuala Krai membayar ganti rugi sebanyak RM4.3 juta kerana menyebabkan anak mereka mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan pada tahun lalu.
Video oleh SHIDDIEQIIN ZON
Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd. Izahir, 18, yang terlantar di atas katil dan terpaksa memakai tiub makanan serta beg kencing akibat kemalangan itu turut dibawa ke mahkamah tersebut oleh ibunya, Jahsuriawany Mustapha, 46, dan ditemani suaminya, Mohd. Izahir Kasim, 50.
Jahsuriawany berkata, ganti rugi itu bukan untuk kegunaan lain tetapi bagi menanggung perbelanjaan anaknya yang terpaksa menempuh kehidupan tidak sama seperti remaja lain.
“Duit dapat seberapa banyak sekalipun, tetap tidak dapat menggantikan kesihatan anak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Anak kedua daripada lima beradik itu memperoleh ganti rugi sebanyak RM4.3 juta ekoran kecuaian pengurusan sekolah berkenaan sehingga menyebabkan plaintif mengalami kecacatan kekal seumur hidup.
Hakim Nazri Ismail mengarahkan tiga defendan iaitu Pengasas Maahad Tahfiz tersebut, Datuk Adnan Hashim; pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham dan syarikat van, Ct-one Corporation Sdn. Bhd. membayar keseluruhan ganti rugi tersebut.
Ganti rugi itu melibatkan pelbagai kos seperti pembelian lampin pakai buang, tiub makanan, susu formula dan jururawat persendirian yang terpaksa ditanggung oleh keluarga plaintif bahkan mangsa turut mengalami kecederaan di kepala dan retak saraf tunjang.
Dalam kes saman itu, plaintif terdiri daripada Muhammad Faiz dan Jahsuriawany diwakili peguam, R. Kameswary dan Mazlinda Mahmud manakala defendan diwakili Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azman. Bagaimanapun, kesemua defendan tidak menghadiri prosiding kes hari ini.
Sementara itu, Kameswary ketika ditemui pemberita berkata, plaintif memulakan tuntutan pada April lalu dan proses perbicaraan memakan masa selama dua hari dengan empat saksi dipanggil.











